
| 001 | Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi | |
| 002 | Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam | |
| 003 | Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi | |
| 004 | Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat) | |
| 005 | Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan | |
| 006 | Tunjukilah kami jalan yang lurus | |
| 007 | Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat |
“AI-Quran” ialah Imam kita dan Panduan kita. Dalam ayat suci ini
Allah Ta’ala
mengajar kita supaya tiap-tiap pekerjaan yang baik hendaklah dimulakan dengan
menyebut nama Allah Ta’ala, iaitu dengan membaca: , semoga pekerjaan kita itu diberkati
Allah Ta’ala dan berjaya. Dengan melakukan yang demikian, bermakna kita berserah
bulat-bulat kepada Allah Azza wa Jalla sesudah kita berusaha dan
berikhtiar. “Allah” : ialah nama yang khas bagi
Zat Tuhan Yang Wajib Al-Wujud, yang
berhak disembah dengan sebenar-benarnya. Kalimah “Allah” ini dinamakan “Lafzu’l
Jalalah’’yakni kalimah yang menunjukkan “Kebesaran Allah”, dan juga
dinamakan “Sultanu’l Asmaa”’ yakni “Raja segala nama Tuhan”.“Ar-Rahmaan”:
(Yang Maha Pemurah), “Ar-Rahiim”:
(Yang Maha Mengasihani), kedua-duanya ialah di
antara nama-nama Allah (AI-Asmaa’u’l
Husna) yang menunjukkan bahawa Allah Ta’ala
amat melimpah rahmatNya kepada sekalian
makhlukNya.
Puji-pujian itu ialah cara atau
keadaan yang menzahirkan sesuatu sifat yang baik dan sempurna pada yang dipuji
seperti kecantikan, keindahan, kejayaan, kesempurnaan, kebesaran, dan keagungan.
Kerana segala kesempurnaan dan
kebesaran serta keagungan dan kekuasaan itu hanya ada pada Zat Allah Yang Maha
Kuasa: maka hanya Allah Ta’ala
sahaja yang berhak menerima puji-pujian, sebagaimana Allah Ta’ala
jua berhak memuji ZatNya
sendiri.
Menurut huraian Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor, Penyemak Kitab Tafsir ini:
Satu-satunya jalan bagi menyatakan
iman dan takwa kepada Allah Yang Maha Pemurah dan
Maha Kuasa, yang menguasai
hari Pembalasan (hari
Akhirat) ialah dengan beribadat atau memperhambakan diri kepadaNya
dengan penuh rasa ikhlas dan tawadhu’.Tidak ada lain yang berhak
disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain dari Allah Yang Maha
Kuasa;
demikian juga tidak ada lain tempat kita memohon pertolongan iaitu dari Allah
Yang Maha Pemurah.
Pengertian “ibadat” secara ringkas dapat diertikan
sebagai menunjukkan rasa taat setia dan perhambaan diri kepada Allah ‘Azza wa
Jalla yang dikenangkan limpah kurnia kebaikanNya serta dirasai dalam hati nurani
akan kehaibatan kekuasaanNya .
Allah Ta’ala
perintahkan supaya kita tidak
menyembah selainNya, kerana Dialah sahaja
Tuhan yang wajib disembah dengan
sebenar-benarnya. Kita juga diperintahkan supaya hanya memohon pertolongan
kepadaNya. Ayat ini seolah-olahnya bertentangan dengan ayat 2, surah
Al-Maa’idah
yang menyuruh manusia bertolong-tolongan antara satu sama dan dalam membuat amal
kebajikan dan bertakwa kepada Allah Ta’ala. Yang bererti kita disuruh supaya meminta
pertolongan sesama manusia; sementara ayat 5 dalam surah Al-Fatihah ini menyuruh
supaya kita hanya memohon pertolongan kepada Allah Ta’ala
semata-mata.Sebenarnya
tidak ada pertentangan di antara kedua-dua ayat itu, kerana usaha dan amal
perbuatan manusia adalah bergantung kepada adanya sebab-sebab yang dapat
menghasilkan kejayaan itu dan ketiadaan halangan-halangan yang merintanginya.
Demikianlah kejadian alam ini, segala yang berlaku itu pada keseluruhannya
adalah melalui adanya sebab-sebab dan syarat-syarat yang telah diatur oleh Allah
‘Azza wa Jalla. Manusia sebagai makhluk Tuhan telah diberikan nikmat ilmu
pengetahuan melalui akal fikirannya yang waras, di samping itu diberikan tenaga
kekuatan untuk mengatasi sesuatu halangan. Oleh itu, yang menjadi tanggungjawab
bagi manusia ialah menggunakan segala ikhtiar dan daya usaha, meliputi cara-cara
bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain, yang disertakan
dengan doa memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala.
Semuanya ini adalah merupakan sebab-sebab yang telah ditentukan oleh Allah Ta’ala
bagi
pelaksanaan sesuatu pekerjaan. Dan segala-galanya itu tidak lain hanyalah
merupakan usaha ikhtiar kita sahaja. Setelah kita berusaha dan berikhtiar
maka kita serahkan pula Penentuan natijah dari usaha kita itu kepada Allah Yang
Maha Kuasa.
Penunjuk hidayah yang dipohonkan di sini ialah penunjuk yang disertakan dengan taufik supaya kita sentiasa berada pada jalan yang diredhai Allah Ta’ala.
“Orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka” ialah Nabi-nabi, Rasul-rasul dan orang-orang yang beriman serta beramal salih. Dan jalan mereka, selain daripada beriman serta beramal salih ialah membimbing manusia ke jalan kebaikan dengan perbuatan-perbuatan yang baik dan perkataan yang murni serta sanggup menanggung beban dan tanggungjawab dengan penuh ikhlas, sabar dan bertakwa. Itulah dia “As-Siraatu’I Mustaqiim” (jalan yang lurus).
Menurut Hadith Nabi Muhammad s.a.w.: "Orang-orang yang dimurkai" itu ialah kaum Yahudi, dan “Orang-orang yang sesat” ialah kaum Nasrani.” (Tafsir Al-Alusi, 1:90).Ada juga Ahli Tafsir yang memberikan huraian lanjut mengenainya. Menurut Sahibul-Fadhilah Datuk Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim - Penyemak Kitab Tafsir ini - bahawa kesimpulannya seperti berikut:
“Orang-orang yang dimurkai Allah” ialah orang-orang yang mengingkari atau menyembunyikan sesuatu perkara agama yang telah diketahuinya betul dan benar, atau orang yang tidak mahu menerima sesuatu hukum agama yang sampai kepadanya dengan keterangan-keterangan yang sah kerana beberapa sebab yang mempengaruhi jiwanya seperti: perasaan takassub atau fanatik kepada sesuatu pendapat, keinginan hendak menjaga nama dan taraf, ingatan hendak memelihara keadaan dan kedudukannya yang turun temurun, atau fikiran hendak menghormati sesuatu keadaan masyarakat.
"Orang-orang yang
sesat” pula ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak
berusaha untuk mempelajarinya atau orang yang pengetahuan agamanya tidak betul,
kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan yang sebenarnya.
Orang-orang yang tersebut kalau
mereka tidak sesat dalam urusan kebahagiaan hidup dunia kerana sihat pancaindera
dan tepat pendapat akal mereka pada zahirnya, maka tak dapat tidak mereka sesat
dalam urusan kebahagiaan hidup di akhirat. kerana pengetahuan agama Allah sahaja
yang sanggup menunjuk dan membimbing pengikutnya kepada kebahagiaan akhirat.